Teo Ee Yi menganggap gandingannya bersama Aaron Chia bersifat sementara dan lebih selesa untuk terus bergandingan dengan Ong Yew Sin.

Ee Yi-Aaron muncul gandingan bidan terjun apabila membantu Malaysia meraih mata penting ketika membenam India 3-2 dalam aksi kedua Kumpulan 1D, Piala Sudirman 2019, di Nanning, China.

Aksi mereka itu meraih pujian sehingga terbit cadangan supaya gandingan mereka dikekalkan.

Namun, Ee Yi, yang kembali bersama-sama Yew Sin dalam aksi suku akhir berdepan Jepun semalam, lebih menitikberatkan elemen keserasian.

"Apabila bergandingan dengan Aaron, memang terasa perbezaannya kerana dia bukanlah pasangan beregu sebenar saya.

"Gandingan kami agak kurang mantap dan mungkin mengakibatkan salah faham dalam permainan di antara kami.

"Sebaliknya, gandingan saya dengan Ye Sin dianggap lebih baik berikutan kami saling mengetahui pukulan yang perlu diambil," kata Ee Yi ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebentar tadi.

Dalam masa sama, Ee Yi yang ditimpa kecederaan apabila terikat 19-19 dalam set penentuan ketika berdepan jaguh Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda, berharap sempat pulih untuk menghadapi Terbuka Australia dari 4-9 Jun ini.

"Kecederaan ini baru dijahit, saya menghadapi sedikit masalah untuk menjalani rutin seperti makan.

"Saya harap akan pulih segera," katanya lagi.