Dua, tiga tahun tidak mampu gantikan Chong Wei, Nicol -- Haresh

Oleh Staff Writer 14 Jun 2019 1000
Dua, tiga tahun tidak mampu gantikan Chong Wei, Nicol -- Haresh
Pemerhati sukan Malaysia, Haresh Deol, menyifatkan kehilangan dua ikon, Datuk Lee Chong Wei, dan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, akan memberi kesan kepada sukan kebangsaan untuk tempoh berpanjangan.

Kemungkinan untuk peminat sukan tanah air memiliki bakat luar biasa seperti mereka dalam hayat yang sama juga diibaratkan Haresh sebagai mustahil.

Daripada aspek industri sukan, khusus buat dua sukan raket itu, mereka kehilangan tarikan kewangan untuk menjana kelangsungan program.

Kudrat mereka di gelanggang bukan sahaja mengharumkan nama negara di pentas dunia, malah berfungsi sebagai ejen yang berupaya menyatukan rakyat Malaysia.

"Ikon seperti Chong Wei dan Nicol bukan sekadar atlet. Setiap kali mereka beraksi, anda akan lihat semua rakyat Malaysia duduk bersama dan memberi sokongan. Penaja mungkin akan tertanya-tanya siapa ikon pada waktu ini. Perlukah bayaran dibuat dengan jumlah besar buat persatuan yang tiada ikon?," kata Haresh.

"Namun, ini adalah halangan sementara dan pihak berkenaan seharusnya melihat cara lain menjadikannya lebih produktif serta mewujudkan lebih ramai atlet. Malaysia mungkin tidak akan dapat pengganti Chong Wei dan Nicol dalam tempoh dua atau tiga tahun, mungkin perlukan 10 tahun tetapi kami boleh pelbagaikannya agar semua sukan menjadi kompetitif."

Sementara itu, beberapa atlet kebangsaan seperti Sarap Yap (taekwondo), Leong Mun Yee (terjun) dan Jawairiah Noordin (tenis) turut menyatakan sokongan terhadap Chong Wei susulan persaraannya.

"Hanya mahu mengucapkan selamat maju jaya buat Chong Wei dalam apa jua yang dilakukan di masa depan. Terima kasih atas khidmat anda buat negara dan apa yang penting, terima kasih kerana menjadi inspirasi di seluruh dunia," kata Sara.

"Terima kasih atas semua sumbangan dan pengorbanan yang dilakukan buat negara. Selamat maju jaya," tambah Mun Yee.

"Chong Wei adalah permata negara yang membangkitkan semangat dalam diri setiap atlet untuk menjadi sepertinya. Terima kasih atas segala pengorbanan, saya menghargai anda," ujar Jawairiah.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen