Pertemuan dengan dua legenda badminton dunia membuatkan perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei, bersedia untuk melupakan duka tahun lalu dan mahu segera memenuhi potensi untuk menjadi tonggak skuad kendalian Datuk Misbun Sidek itu.

June Wei hanya beraksi dalam satu kejohanan musim ini, iaitu Masters Thailand, awal bulan ini.

Bagaimanapun, dia memperoleh pengalaman berharga apabila mengheret juara dunia lima kali, Lin Dan, dalam pertembungan tiga set di peringkat suku akhir.

Meskipun kecundang, June Wei tetap menganggap kekalahan itu sebagai pengajaran berharga buatnya.

"Ia merupakan pengalaman yang hebat buat saya.

"Saya dapat lihat bagaimana dia bermain secara taktikal untuk bangkit daripada ketinggalan.

"Ia amat berguna dan saya dapat memanfaatkannya pada masa akan datang.

"Saya hanya menyertai satu kejohanan setakat ini.

"Saya berharap prestasi baik dalam Masters Thailand dapat dikekalkan pada masa akan datang," katanya

Satu lagi pertemuannya dengan pemain berstatus legenda adalah Datuk Lee Chong Wei.

Walaupun bukan dalam aksi kompetitif, June Wei tetap kagum melihat Chong Wei kembali berlatih selepas menjalani rawatan kanser hidung.

"Saya kagum selepas melihat dia kembali sihat dan sudah mampu untuk beraksi.

"Dia beraksi seperti tidak pernah menghadapi masalah kesihatan.

"Dia memberikan inspirasi memandangkan dalam usia yang mencecah 36 tahun, keinginnannya untuk beraksi tidak pernah padam," tambahnya.