Juara bertahan Piala Thomas, Denmark, melakar kemenangan 5-0 ke atas Algeria dalam tempoh 102 minit bagi aksi peringkat Kumpulan D tetapi masih belum menampakkan keghairahan untuk mencongak perhitungan menentang Malaysia di Impact Arena, Bangkok, hari ini.

Susunan tiga perseorangan beraksi terlebih dahulu memihak kepada kekuatan Denmark dengan pertaruhan perseorangan pertama merupakan bekas pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen, yang berentap dengan Youcef Medel.

Axelsen hanya memerlukan 16 minit untuk merekodkan kemenangan 21-4, 21-8.

"Setiap perlawanan amat penting untuk menunjukkan keazaman sambil berharap untuk mengharungi kejohanan dengan baik.

"Saya gembira dengan aksi hari ini dan saya melakukan tugas seperti biasa. Justeru, saya berpuas hati dengan hasil hari ini," kata Axelsen.

Dua perseorangan berikutnya termasuk Jan O Jorgensen, memastikan mata milik mereka juga menerusi keputusan straight set sebelum dua lagi beregu memutlakkan kemenangan 5-0 Denmark yang akan bertemu Russia, esok.

"Biarpun aksi kami pada hari ini agak membosankan, namun kami hanya fokus satu persatu perlawanan.

"Saya harap dapat merakamkan kemenangan ke atas Russia esok, begitupun kami tidak akan bersikap sambil lewa menjelang aksi terakhir kumpulan bertemu Malaysia nanti," katanya lagi.