Pemain perseorangan lelaki negara, Liew Daren, tidak menganggap penyingkirannya seawal pusingan pertama Kejohanan Terbuka Malaysia menjejaskan persiapannya bagi menghadapi Kejohanan Badminton Dunia, 31 Julai ini.

Daren hanya mempunyai tempoh kurang sebulan untuk bersiap bagi menghadapi Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Nanjing, China.

Namun, dia mengharungi aksi Terbuka Malaysia, Rabu lalu, dengan langkah kiri apabila tumpas kepada pemain Indonesia, Jonatan Christie, 18-21, 17-21.

Bagaimanapun, Daren tidak panik dan menjelaskan dia masih mempunyai dua kejohanan lagi, iaitu Terbuka Singapura dan Terbuka Thailand sebagai medan persiapan.

"Saya tidak kisah kerana sebenarnya saya tidak mempersiapkan diri untuk kejohanan ini. Persiapan memang untuk aksi di Singapura dan Thailand.

"Jadi, dapat menyertai kejohanan ini sudah dikira baik," katanya.

Daren bakal melakukan penampilan kedua dalam Kejohanan Dunia selepas kali pertama pada 2013 di Guangzhou.

Untuk edisi kali ini, dia bakal mengibarkan cabaran bersama jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei, dalam acara perseorangan lelaki.

"Saya mengharapkan aksi di Thailand dan Singapura dapat membolehkan saya mempamerkan permainan terbaik," tambahnya.