Pemain perseorangan Brazil, Ygor Coelho de Oliveira, tidak akan berasa kerdil apabila turun menentang pemain utama negara dan pilihan kedua kejohanan, Datuk Lee Chong Wei, dalam aksi pembuka tirai Seluruh England, hari ini.

"Saya tidak pernah bertemu dengannya dan tidak pernah menentangnya. Dia adalah salah seorang pemain kegemaran saya dan saya sangat teruja untuk bermain dengannya. Diharapkan saya dapat bermain baik."

Demikian semangat tinggi pemain berusia 21 tahun itu yang aktif dalam badminton selepas bapanya menggunakan sukan itu untuk membantu kanak-kanak dari kawasan setinggan yang dikenali sebagi favela di Brazil.

Coelho, yang menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan Perancis di bawah bimbingan bekas pemain perseorangan utama Denmark, Peter Gade Christensen, menyimpan azam untuk meningkatkan statusnya selaku pemain utama di dunia.

"Saya mahu menjadi salah seorang pemain terbaik dunia dan memenangi pingat emas Sukan Olimpik. Saya bekerja keras untuk itu," katanya lagi.

Dan sudah tentu seperti kebanyakan pemain Brazil, bola sepak tidak jauh daripada dirinya.

"Saya mempunyai ramai pemain kegemaran tetapi saya sukakan Neymar, David Luiz, Thiago Silva dan Dani Alves.

"Saya fikir Brazil akan beraksi baik dalam Piala Dunia nanti dan mereka akan menang ke atas Jerman," ujarnya.