Kepercayaan bekas pemain nombor satu dunia, Wong Choong Hann, terhadap bakat muda negara untuk meneruskan legasi gemilang skuad perseorangan tidak pernah luntur tetapi menegaskan perlu ada satu elemen untuk dijadikan sandaran di sebalik kemewahan kemudahan yang disediakan.

Buat julung kalinya, Choong Hann berkunjung ke Akademi Badminton Malaysia hari ini, malah sempat meluangkan masa bersama Datuk Lee Chong Wei.

Seperti keseluruhan rakyat Malaysia, Choong Hann juga tidak terkecuali berasa duka kegagalan skuad Piala Thomas.

Berbeza buat dia sebagai bekas pemain di pentas tertinggi dunia, Choong Hann tidak melihat situasi ini sebagai satu kegusaran tetapi waktu yang diperlukan untuk Malaysia kembali gah dengan pengganti Chong Wei.

"Sudah tentu ada ruang untuk mereka memperbaiki kemampuan. Mereka harus bermain dengan sepenuh hati ketika mewakili negara, bukan sekadar menyarung jersi negara semata-mata.

"Saya selaku bekas pemain kebangsaan amat berharap pemain hari ini bukan beraksi hanya untuk diri sendiri sahaja, sebaliknya dengan sepenuh hati.

"Jika mereka menekankan aspek asas, iaitu bermain dengan sepenuh hati, maka saya percaya keputusan akan berpihak kepada mereka sendiri.

"Pesan orang tua-tua, usah berputus asa dengan setiap peluang yang diberikan di dalam gelanggang. Ia akan melonjakkan anda menjadi pemain yang lebih baik," kata Choong Hann.