Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baru, Wong Choong Han, tidak bercadang mengganggu perancangan ketua jurulatih perseorangan, Datuk Misbun Sidek, apabila beliau memulakan tugas secara rasmi, Januari depan.

Sehari selepas Misbun memohon restu untuk tidak diganggu buat merencanakan cabaran pemain perseorangan negara, Choong Hann menyambutnya dengan hati terbuka.

Choong Hann tidak menyembunyikan hasrat untuk menjalin kerjasama rapat dengan Misbun yang pernah membimbingnya selaku pemain pada 2002.

Malah, pendekatan sama juga mahu diamalkannya apabila mengendalikan tugas bersama jurulatih-jurulatih senior lainnya.

"Saya setuju.

"Pasukan yang sedia ada sudah kukuh daripada segi struktur jurulatih dan pilihan pemain.

"Selaku pengarah kejurulatihan, saya akan cuba membuat sedikit penyesuaian dalam beberapa aspek bagi meningkatkan tahap efisien program," katanya.

Bekas naib juara dunia 2003 itu juga sudah berjumpa Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Datuk Ng Chin Chai, dan Pengurus Besar, Michelle Chai, semalam untuk membincangkan peranan dan hala tuju jawatannya.

"Kami hanya berbincang mengenai isu pentadbiran selain bidang dan kertas kerja yang perlu saya buat.

"Ia hanya perbincangan membabitkan urusan pentadbiran," katanya.