“Datuk Lee Chong Wei adalah khazanah Malaysia dan berhak menerima apa sahaja bantuan daripada kerajaan sekiranya itu yang diperlukan untuk dia segera pulih dan kembali ke gelanggang secara kompetitif.”

Itu yang ditegaskan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, setelah menjadi antara individu yang berkesempatan menjenguk Chong Wei.

Kenyataan rasmi daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjelaskan pemain nombor satu negara itu terpaksa melupakan sebarang aktiviti fizikal untuk sekurang-kurangnya sebulan setelah mengalami komplikasi pernafasan, namun pendekatan daripada Chong Wei untuk mengunci mulut membangkitkan kegusaran terhadap sejauh mana tahap masalah kesihatan dialaminya.

"Sudah pasti dia bukan sekadar seorang manusia biasa. Chong Wei adalah wira negara," ujar Syed Saddiq.

Bagaimanapun, Syed Saddiq memberi bayangan positif bahawa semangat juang tinggi yang sinonim dengan Chong Wei tetap membara untuk dia kembali mengenggam raket walaupun impian pemain berusia 36 tahun itu untuk bergelar juara dunia semakin tipis.

Selain itu, dia juga terpaksa melupakan hasrat untuk melakukan penampilan terakhir di pentas Sukan Asia di Indonesia bulan depan.

"Saya berpeluang untuk menemuinya dan mengucapkan selamat maju jaya buat Chong Wei. Diharapkan dia cepat sembuh.

"Saya pasti kesannya menyeluruh, termasuk buat BAM."