Di antara esak-tangis, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraannya daripada arena badminton hari ini sebagai penamat kepada kerjaya gemilang selama 19 tahun – lebih separuh daripada usia 36 tahunnya.

Chong Wei membuat pengumuman itu tepat jam 12.25 tengah hari tadi menerusi sidang media khas sambil diapit Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, timbalannya, Steven Sim, dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, di Menara KBS, Putrajaya yang dibawakan secara langsung dalam Nadi Arena Khas.

Menurutnya, keputusan itu terpaksa diambil memandangkan tahap ketahanan dirinya -- yang baru pulih daripada kanser hidung, Januari lalu -- tidak mampu lagi menampung bebanan dan kekuatan yang diperlukan untuk meneruskan sukan badminton yang berkeamatan tinggi.

"Mungkin ramai yang sudah tahu bahawa hari ini saya akan mengumumkan persaraan selepas 19 tahun bersama BAM.

"Keputusan ini amat-amat sukar untuk saya.

"Selepas menjalani pemeriksaan terakhir di Taiwan, April lalu, saya berbincang dengan keluarga saya dan BAM untuk mengambil waktu rehat sebulan.

"Saya mengambil keputusan ini (bersara) selepas berbincang dengan keluarga saya.

"Ia kerana sebelum saya ke Taiwan buat kali terakhir, jurulatih dan doktor peribadi saya menyenaraikan apa yang perlu saya lakukan untuk menjalani latihan dan pemulihan.

"Doktor menjelaskan latihan dalam sukan badminton terlalu berkeamatan tinggi dan selepas berbincang dengan isteri saya dan doktor, mereka menyarankan saya untuk berehat.

"Bagi saya, ia sememangnya amat berat untuk meneruskan sukan berkeamatan tinggi ini.

"Selepas itu, saya memohon kepada BAM untuk bercuti selama sebulan dan selepas bertemu Datuk Seri Norza dan YB Syed Saddiq sebelum hari raya, kami mengambil keputusan untuk mengumumkan persaraan saya selepas hari raya.

"Keputusan ini memang berat untuk saya kerana saya amat mencintai sukan ini.

"Namun, kesihatan saya lebih utama buat masa ini," katanya.

Chong Wei menyertai BAM sejak berusia 17 tahun.

Anak kelahiran Bagan Serai, Perak itu pernah mendapat gelaran sebagai "wira negara" susulan kejayaannya meraih tiga pingat perak dalam Sukan Olimpik secara berturut-turut dalam edisi 2008, 2012 dan 2016.

Dia juga meraih tiga pingat perak dalam Kejohanan Badminton Dunia di London (2011), Guangzhou (2013) dan Jakarta (2015) selain pernah memegang rekod sebagai pemain paling lama berada di kedudukan nombor 1 dunia untuk sejumlah 349 minggu – termasuk 199 minggu berturut-turut di antara 2008 dan 2012.

Secara kesuluruhan, Chong Wei telah memenangi 69 gelaran kompetitif dengan rekod 705 kemenangan dan 134 kekalahan, termasuk 46 gelaran dalam Siri Super sahaja.

"Saya mahu berterima kasih kepada pihak media kerana sepanjang 19 tahun ini, pihak media, rakan-rakan dan keseluruhan rakyat Malaysia sentiasa menyokong saya.

"Bukan senang untuk memakai baju Jalur Gemilang ke seluruh dunia dan saya amat berbangga dengan diri saya kerana dapat memberikan yang terbaik buat negara.

"Terima kasih KBS, MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara) dan paling utama BAM kerana membantu saya sepanjang 19 tahun ini.

"Ucapan terima kasih teristimewa juga buat kesemua jurulatih saya terutama Datuk Misbun (Sidek), Hendrawan, (Tey) Seu Bock dan semua yang terlibat di ISN dan MSN.

"Akhir sekali, saya mahu berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Tanpa rakyat Malaysia, Lee Chong Wei tidak akan bertahan selama 19 tahun dalam sukan badminton," katanya yang disulami esak dan tangis.

Ditanya apa yang akan paling dirinduinya selepas persaraan, Chong Wei menjawab spontan: “Anda, media. Kerjaya saya umpama roller-coaster yang sentiasa ada turun naiknya dan anda (media) sentiasa bersama saya.”