Jaguh badminton perseorangan, Datuk Lee Chong Wei, tidak pernah terlepas menghiasi skuad Piala Thomas negara sejak edisi 2004 di Jakarta, Indonesia.

Sama ada emosi masih terganggu atau kudrat tidak lagi mampu menanggung duka, Chong Wei sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan berprestij itu selepas skuad negara tersingkir dalam suku akhir di Bangkok, Thailand, semalam.

"Kami perlu menerima kekalahan ini. Mungkin kami kalah kepada pemain lebih baik. Masa masih ada dan harus diteruskan. Pada tahun ini, banyak lagi kejohanan. Ada Sukan Asia, Kejohanan Dunia, Terbuka Malaysia dan Terbuka Indonesia.

"Saya harap kita jangan berputus asa dan terus berjuang. Apa yang kurang dalam Piala Thomas, kami harus bincang semula dengan jurulatih.

"Ini memang Piala Thomas terakhir. Saya perlu memberi peluang kepada pemain muda. Untuk kejohanan kali ini juga, kami menghantar ramai pemain muda. Ini bagus untuk persiapan Piala Thomas akan datang," katanya.

Chong Wei turut meluahkan padangannya mengenai barisan pemain muda negara, terutama Lee Zii Jia, yang harus diberi perhatian.

"Saya percaya kepada mereka. Dia (Zii Jia) perlu fokus dua tahun ini. Saya akan bincang dengan jurulatih dan bantu apa yang saya boleh bantu buat Malaysia. Saya rasa dua tahun lagi, kita akan tampil lebih baik," katanya lagi.