Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, mendapat lampu hijau beraksi dalam Kejohanan Siri Super Premier Seluruh England bermula 7 Mac ini selepas ujian imbasan MRI mendapati kecederaan lututnya sudah pulih.

Kehadiran Chong Wei di Seluruh England sudah pasti menjadi suntikan semangat untuk skuad badminton negara.

Pemain nombor satu dunia itu menjalani ujian imbasan MRI semalam dan mendapati kecederaan lutut dialaminya sejak tiga minggu lalu sudah pulih.

Chong Wei akan akan menyertai skuad negara berlepas ke Birmingham, England, Sabtu ini.

"Saya berasakan masih belum pulih sepenuhnya tetapi saya mahu beraksi di Seluruh England. Saya akan cuba memberikan fokus kepada permainan saya sendiri," katanya.

"Berdasarkan latihan serta keadaan fizikal, Chong Wei sudah bersedia untuk beraksi kecuali permainan di dalam gelanggang yang perlu diperbaiki," jelas jurulatih, Hendrawan.

Chong Wei sudah tiga kali menjuarai Seluruh England, iaitu pada 2010, 2011 dan 2014.

Tahun lalu, dia tewas mengejut di tangan pemain India, B. Sai Praneeth seawal pusingan pertama.

Seluruh England akan menjadi kejohanan pertama Chong Wei dalam tempoh tiga bulan selepas mengambil keputusan berehat panjang.