Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengesahkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, telah didiagnosis menghidap barah hidung peringkat awal.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, berkata pada masa ini Chong Wei berada di Taiwan bagi mendapatkan rawatan sambil berehat untuk sembuh bersama keluarga dan kawan rapat.

“Berhubung laporan mengenai Datuk Lee Chong Wei baru-baru ini, BAM mengesahkan pemain itu telah didiagnosis dengan barah hidung peringkat awal.

“Kami menggesa semua pihak agar menghormati privasi beliau dan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan BAM itu sebagai respons kepada satu laporan yang tular menyatakan pemenang pingat perak Olimpik tiga kali tersebut menghidap barah hidung tahap tiga.

“Bagi pihak Chong Wei, saya berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas doa dan keprihatinan kalian. BAM sentiasa berhubung dengan Chong Wei dan kami akan menyalurkan segala bantuan yang perlu kepada legenda kita itu,” kata Mohamad Norza.

Pada Julai lalu, BAM mengeluarkan kenyataan menyatakan Chong Wei tidak akan mengambil bahagian dalam dua kejohanan utama disebabkan masalah kesihatan serta telah dinasihatkan agar berehat oleh doktor selepas menjalani rawatan berikutan masalah berkaitan respiratori.

Dua kejohanan utama berkenaan ialah Kejohanan Dunia BWF dan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang masing-masing berlangsung bulan lalu.

--BERNAMA