Kem badminton negara sedang berduka dengan perkembangan membabitkan kecederaan lutut serius yang dialami Datuk Lee Chong Wei.

Lantaran itu, jurulatih perseorangan negara, Hendrawan, turut meluahkan rasa kecewa melihat nasib malang yang menimpa anak buahnya itu.

Rutin biasa bertukar menjadi mimpi ngeri apabila Chong Wei difahamkan tersilap langkah yang menjadi punca lutut kirinya mengalami kecederaan ligamen kolateral medial (MCL).

Chong Wei mengalami kecederaan itu sewaktu latihan pusat di gelanggang baru Akademi Badminton Malaysia di ibu negara, semalam.

"Selepas kejadian, saya serahkan kepada pakar fisioterapi sebelum Chong Wei dibawa untuk menjalani ujian MRI (imbasan resonan magnetik).

"Keputusan awal mendapati Chong Wei sah mengalami kecederaan MCL. Mengikut jangkaan, dia memerlukan lima hingga enam minggu untuk pulih," kata Hendrawan.

Hendrawan juga mengesahkan Chong Wei boleh mengucapkan selamat tinggal kepada penyertaan dalam Kejohanan Seluruh England, bulan depan.

Kejohanan berstatus Siri Super Premier itu sepatutnya menjadi penampilan sulung pemain nombor satu dunia berkenaan bagi musim 2017.

Lebih membimbangkan adalah mengenai moral Chong Wei dalam usaha untuk memastikan misi mengungguli Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos ini.

"Memang kecewa termasuk saya. Ia kerana sejak dari tahun lalu, kami berbincang mengenai permulaan kejohanan tahun ini. Selepas Sukan Olimpik tahun lalu, saya melepaskannya untuk berehat.

"Selepas berlatih kelmarin, saya nampak ada semangat dan komitmen dalam dirinya. Saya melihat kemahuannya. Tetapi selepas kejadian ini (kecederaan) ia mengecewakan," tambahnya.