Perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei, masih percaya dengan keupayaan barisan pemain muda negara untuk beraksi di peringkat tertinggi kejohanan antarabangsa serta mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkannya suatu hari nanti.

Chong Wei menjadi calon tunggal perseorangan lelaki negara yang beraksi dalam Kejohanan Seluruh England, kejohanan siri jelajah dunia Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) yang mengehadkan hanya 32 pemain dunia beraksi.

Dengan hanya Chong Wei dalam kelompok utama, dia terpaksa memikul beban besar untuk memastikan kelayakan ke pentas final dengan tiada sokongan daripada pemain perseorangan negara yang lain.

Berdepan situasi yang kerap dilaluinya ini, Chong Wei masih percaya pemain muda mampu bangkit daripada prestasi hambar.

"Saya dapat melihat beberapa potensi daripada barisan pemain muda dalam perseorangan yang mampu meningkat naik dan percaya dengan kemampuan mereka," katanya.

Dengan usianya sudah mencecah 36 tahun, masa semakin suntuk buat barisan jurulatih negara untuk melahirkan pemain berbakat daripada barisan perseorangan sedia ada seperti Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin serta Leong Jun Hao.

Ini bagi memastikan bahawa Malaysia tidak sentiasa mengharapkan Chong Wei, peranan yang semakin hari tampak sukar ditanggung pemain itu.