Datuk Lee Chong Wei secara rasmi memulakan pengembaraan kebangkitan semula daripada belenggu rawatan kanser apabila menjejakkan kaki di gelanggang latihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini.

Chong Wei mula menjalani sesi latihan ringan di ABM pada Jumaat lalu dan kini telah memulakan latihan penuh di bawah kendalian jurulatih perseorangan, Hendrawan.

Terukir senyuman di wajah Hendrawan yang kembali melatih Chong Wei dan beliau mahu memastikan pemain nombor satu negara itu kembali ke tahap terbaik sebelum melakukan perbincangan mengenai kejohanan yang bakal disertainya bagi musim 2019.

"Saya sangat gembira menyaksikan Chong Wei kembali berlatih bersama skuad negara. Perkara paling penting adalah memastikan tahap kecergasannya kembali berada pada tahap terbaik sebelum memikirkan mengenai masa depannya untuk bertanding," kata Hendrawan.

"Kemahiran yang dimiliki Chong Wei tidak akan hilang, namun dia telah berehat hampir enam bulan kerana menjalani rawatan. Kita harus memberikan masa buat Chong Wei untuk mendapatkan semula rentak terbaiknya."