Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, menerima keputusan Jawatankuasa Latihan dan Kejurulatihan (C&T) badan itu mengenai pembentukan skuad projek khas.

Katanya, ia diwujudkan bagi memberi keutamaan kepada Datuk Lee Chong Wei memburu kejuaraan pertamanya dalam Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos depan.

"Saya menyokong 100 peratus dan saya harapkan yang terbaik. Saya juga berharap pemain lain juga mendapat manfaat daripadanya pada masa yang sama."

Frost mengakui dia tidak mempunyai kuasa dalam mengendalikan pasukan itu kerana ia akan diuruskan sepenuhnya oleh Hendrawan.

Tetapi bekas lagenda Denmark itu menegaskan dia akan terus melaksanakan tugasnya seperti biasa walaupun selepas ini akan lebih tertumpu kepada perancangan buat pemain beregu serta wanita negara.

"Saya fikir apa yang berlaku ketika ini adalah Chong Wei memiliki program istimewa. Saya selaku pengarah teknikal akan meneruskan tugas saya," tambahnya.

Hendrawan, selaku ketua jurulatih, akan dibantu Tey Seu Bock dalam membentuk gandingan mantap bersama pemain-pemain perseorangan muda negara.

Selain Chong Wei, skuad khas itu turut disertai Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Lim Chi Wing, Soong Joo Ven, Soo Teck Zhi dan Chong Yee Han.

Skuad projek khas itu diumumkan Pengerusi C&T yang juga Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, hari ini selepas berlaku perselisihan di antara Chong Wei dan Frost sejak bulan lalu.