Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, bersedia menyahut cabaran Menteri Belia dan Sukan, Khairy Kamaluddin, untuk muncul juara dunia di Glasgow, Scotland bulan depan selepas empat atlet negara berjaya mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa pada tahun ini.

Selepas pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang, atlet olahraga para, Mohd Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly serta yang terbaru, penerjun kebangsaan, Cheong Jun Hoong, meraih gelaran juara dunia, Chong Wei enggan ketinggalan untuk menjadi pelengkap tahun 2017 dengan kejayaan sama dalam Kejohanan Dunia di Glasgow bermula 21 Ogos depan.

Selepas gagal dalam sembilan percubaan sebelum ini, dia tidak mahu lagi kempunan dalam penampilan kesepuluhnya pada tahun 2017 dan bagi Chong Wei, status sebagai pemain badminton terulung negara masih belum cukup untuknya jika gagal muncul juara dunia.

Chong Wei juga menamakan Roger Federer sebagai pemangkin semangatnya selepas pemain tenis Switzerland itu menjuarai Kejohanan Wimbledon pada usia 36 tahun, minggu lalu.

"Ini mungkin peluang terakhir saya tetapi apa yang dilakukan oleh Federer minggu lepas telah mengajar kerana usianya tidak banyak berbeza dengan saya.

"Federer menunjukkan bagaimana untuk menghadapi tekanan yang sebenar," ujar Chong Wei.

Dalam masa sama, Chong Wei kini sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan akademi badminton di Kuala Lumpur dan Johor Bahru selepas merasmikan akademi pertamanya di Ipoh, semalam.

"Selepas bersara, mungkin saya boleh membantu untuk memajukan sukan badminton negara melalui akademi ini," katanya.