“Dunia tidak boleh menafikan nama Datuk Lee Chong Wei selaku legenda walaupun dia menggantung raket tanpa memenangi pingat emas Olimpik, Kejohanan Dunia dan Piala Thomas.”

Itu pandangan jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, yang merupakan seorang juara dunia sewaktu bergelar pemain.

Hendrawan, yang membimbing program Chong Wei sejak empat tahun lalu, begitu hampir merealisasikan aspirasi jaguh Malaysia tersebut sebelum dia kecundang dalam Kejohanan Dunia 2015 serta Sukan Olimpik Rio 2016.

Bagaimanapun, jurulatih dari Indonesia itu menegaskan belum tentu ada pemain yang berupaya meneruskan kerjaya sewaktu diuji dengan penggantungan doping serta kehadiran penyakit serius seperti kanser, sama seperti yang dihadapi Chong Wei.

"Perwatakan juara memang sudah ada dalam diri Chong Wei, lebih-lebih lagi semua proses yang dilalui, termasuk menjadi ikon, bagi saya ia sudah terbukti. Tidak perlu dibandingkan dengan pemain lain," katanya.

Persaraan Chong Wei juga memberi kesan kepada masa depan Hendrawan bersama kem Malaysia.

Meskipun kontraknya bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) luput pada Disember 2020, dia sudahpun disunting kuasa besar lain, termasuk badan induk negara asalnya, Persatuan Badminton Seluruh Indonesia (PBSI).

"Memandangkan Chong Wei bersara, perseorangan lelaki juga perlukan masa. Jadi, saya akan berusaha untuk membantu. Mengenai perancangan masa depan, saya belum miliki sebarang keputusan," tambah Hendrawan.