Berbaki dua kejohanan besar musim ini, Datuk Lee Chong Wei, menegaskan mengapa dia mengutamakan Sukan Asia di Indonesia berbanding Kejohanan Dunia.

Tidak menjadi rahsia kemahuan Chong Wei adalah untuk bergelar juara dunia. Atas dasar itu, timbul persoalan unik mengapa dia berani untuk mengambil pendekatan sedemikian.

Tetapi, penjelasan daripada Chong Wei ini, turut menawarkan perspektif daripada sudut perancangan kerjayanya.

"Ini adalah Sukan Asia terakhir saya. Empat tahun lagi saya tidak akan bermain, sudah berumur 40 tahun. Sebelum itu ada Kejohanan Dunia, saya akan cuba.

"Saya tidak boleh fokus semua kejohanan besar kerana tahun ini ada banyak kejohanan besar. Sebelum ini, saya ada Sukan Komanwel dan Piala Thomas.

"Saya tetap sama, akan turun memberikan segala-galanya. Bukan pergi sana bermain sambil lewa kerana empat tahun lagi sudah tentu saya tidak akan bermain lagi," katanya.

Selain emas Sukan Olimpik, gelaran Kejohanan Dunia turut menjadi idaman Chong Wei yang menikmati pencapaian terbaik selaku naib juara sebanyak tiga kali

Mampukah Chong Wei menamatkan kemarau itu, semuanya akan terjawab di Nanjing, China, 30 Julai nanti.