Datuk Lee Chong Wei yang sebelum ini menerima hakikat mungkin menamatkan karier tanpa memenangi Piala Thomas kembali memasang impian menamatkan kemarau Malaysia sejak
1992 bersama barisan muda negara.


Dalam edisi 2016 di Kunshan, imej Chong Wei memandang Piala Thomas dengan raut wajah terkilan ketika Malaysia tersingkir dalam pusingan separuh akhir, menjadi antara yang dikenang dunia.

Tetapi selepas layak ke pusingan akhir Piala Thomas menerusi tiket merit daripada Kejohanan Berpasukan Asia dan dibantu aksi meyakinkan perseorangan muda seperti Lee
Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang makin meningkatkan prestasi, Chong Wei ibarat ditiup semangat baru.

"Saya percaya dengan kebolehan pemain perseorangan dan beregu negara. Kami akan membuat persiapan dalam beberapa kejohanan lagi dan kami berkemampuan untuk mencipta kejayaan," kata Chong Wei.

Sementara itu, Zii Jia menghargai keyakinan yang ditawarkan Chong Wei dan ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, mengetahui dia perlu membuktikan kredibiliti.

Perwatakan Zii Jia sebagai pemain yang bijak juga terserlah apabila dia sudah mengenal pasti kelemahan dirinya.

"Saya agak kecewa apabila gagal meraih mata dalam separuh akhir berdepan China. Saya akan kembali berlatih untuk menghadapi Piala Thomas," kata Zii Jia.

"Menangani tekanan merupakan pengajaran buat saya dan perlu mengawalnya ketika menghadapi saingan-saingan utama."