Chong Wei kejar kejuaraan ke-12

Oleh Staff Writer 22 Jun 2018 1184
Chong Wei kejar kejuaraan ke-12
Selepas impian di pentas final tahun lalu disekat, jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, kembali dengan azam yang sama untuk mencari kejuaraan ke-12 dalam Terbuka Malaysia bermula Selasa ini.

Chong Wei dalam misi memburu rekod pemain paling berjaya dalam sejarah kejohanan Terbuka Malaysia selepas memenanginya sebanyak 11 kali sebelum ini.

Tahun lalu, dia hampir menggengam kejuaraan ke-12, namun dikecewakan oleh seteru utama dari China, Lin Dan, dalam final.

Untuk rekod, kali terakhir Chong Wei memenangi Terbuka Malaysia adalah pada 2016.

"Diharapkan saya dapat memenangi saingan ini buat kali ke-12. Ia bukan satu perkara yang mudah.

"Saya akan berusaha keras untuk mendapatkannya selepas tewas tahun lalu. Sokongan peminat badminton Malaysia juga diharapkan dalam aksi di Kuala Lumpur," katanya.

Chong Wei menegaskan bahawa dia mengejar rekod dan meletakkan penanda aras itu dengan tujuan untuk dirinya mengekalkan legasi yang boleh dikenang, sekali gus menjadi ikon sepanjang zaman dalam dunia badminton.

Dia dijangka mudah untuk melepasi pusingan pertama apabila bakal turun berdepan pemain ke-30 dunia, Kazumasa Sakai dari Jepun. 

"Ia menjadi satu motivasi buat diri saya. Setiap hari saya melalui sesi latihan dan meletakkan sasaran untuk mencipta rekod baru.

"Diharapkan ia mampu menjadi pemangkin buat pemain-pemain muda," ujarnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen