Jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, membuktikan dirinya masih memiliki sentuhan berbisa apabila menewaskan Shi Yu Qi dari China 21-19, 21-8 untuk mengesahkan tempat dalam final Terbuka Hong Kong, sebentar tadi.

Chong Wei mara ke separuh akhir selepas mudah menjinakkan pemain Korea Selatan, Son Wan Ho, dalam aksi suku akhir 21-11, 21-12.

Yu Qi pula,yang mengejutkan rakan senegara yang juga bekas juara dunia, Lin Dan, dalam perlawanan sebelum ini jelas tidak mampu menyaingi pengalaman yang dimiliki pemain nombor satu negara itu dalam set pertama.

Chong Wei tidak berdepan masalah sejak daripada awal perlawanan apabila mendahului 11-4 sebelum menamatkannya dengan keputusan 21-19.

Kecemerlangan terus ditampilkan Chong Wei dalam set kedua apabila membenam cabaran Yu Qi 21-8 untuk mengesahkan tempat dalam final.

Chong Wei bakal menentang pemain nombor empat dunia, Chen Long, dalam perlawanan akhir selepas bintang China itu terlebih dahulu membenam cabaran wakil Denmark, Anders Antonsen, 21-15, 21-13 dalam satu lagi aksi separuh akhir.