Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, menaruh harapan tinggi agar ada kesinambungan program dan kebajikan atlet yang menyaksikan peningkatan profil sukan Malaysia berada dalam dasar kerajaan yang baru.

Di bawah kepimpinan Menteri Belia dan Sukan terdahulu, Khairy Jamaluddin, sukan Malaysia menghampiri keupayaan potensi sebenar, daripada prestasi atlet sendiri sehingga muncul juara dunia seperti ratu terjun, Cheong Jun Hoong, dan ikon berbasikal trek, Azizulhasni Awang.

Tidak kurang juga aspek penganjuran ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan program pemantapan atlet seperti Program Podium.

Chong Wei adalah antara atlet veteran negara yang masih aktif menaruh harapan tinggi agar sesiapa sahaja yang memegang porfolio ini berupaya meneruskan usaha ke arah Malaysia memenangi emas Sukan Olimpik sulung negara di Tokyo 2020.

"Kami berharap siapa yang bakal dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan akan meneruskan pencapaian sukan negara.

"Apa yang telah dilakukan oleh Khairy Jamaluddin sebelum ini memberikan impak yang besar dalam sukan negara dan berharap ia akan berterusan," kata Chong Wei.