Chong Wei dilantik CDM ke temasya Tokyo 2020

Oleh Staff Writer 13 Jun 2019 2635
Chong Wei dilantik CDM ke temasya Tokyo 2020
Biarpun hasrat Datuk Lee Chong Wei untuk beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak kesampaian setelah mengumumkan persaraan, semangatnya tetap akan mengiringi kontinjen Malaysia ke temasya Tokyo 2020 apabila dia dilantik sebagai chef-de-mission (CDM).

Pelantikan yang disahkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, itu dianggap sebagai satu pendekatan yang mampu mencetus inspirasi. 

"Kami telah membuat keputusan secara kolektif untuk menamakan Chong Wei sebagai CDM Tokyo 2020. Sebabnya mudah, kami tidak dapat mendapatkan individu lain yang lebih baik.

"Dia telah mengibarkan bendera Malaysia ke serata dunia, memberi inspirasi kepada atlet muda dan seperti saya katakan, semangat Chong Wei sentiasa bersama semua atlet dalam membawa cabaran Jalur Gemilang," ujar Syed Saddiq.  

Sementara itu, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, menyifatkan persaraan Chong Wei sebagai penghujung kepada sebuah era.

Meskipun Malaysia tidak lagi memiliki satu ikon untuk dijadikan sandaran, BAM berazam untuk memastikan generasi akan datang dapat memikul beban itu sebagai satu pasukan.

"Kelemahan kami adalah bergantung kepada individu. Contohnya Olimpian kebangsaan lain seperti Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Goh Liu Ying-Chan Peng Soon.

"Hari ini kami cuba membina institusi yang berasaskan budaya berprestasi tinggi dan sentiasa secara langsung melahirkan pemain bertaraf dunia," kata Norza.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen