Pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, teruja melihat prestasi semakin meningkat yang dipamerkan Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao serta meletakkan masa depan badminton Malaysia di tangan mereka.

"Lee Zii Jia memiliki kelebihan daripada segi ketinggian, yang penting diri sendiri. Leong Jun Hao pula, dia tidak begitu tinggi, namun dia memiliki (gaya) agresif.

"Kita memiliki ramai pemain muda. Saya perlu berganding bahu bersama barisan kejurulatihan untuk mencorakkan pemain muda ini," katanya.

Chong Wei dalam masa sama turut menawarkan pandangan jujur terhadap prospek muda yang gagal menyerlahkan potensi meskipun menyinar di peringkat remaja.

"Mereka ada skil, peluang ada tetapi kalah dalam kejohanan. Mungkin ia ada kaitan dengan faktor kekuatan mental atau mereka berasa takut.

"Tetapi, persembahan semasa latihan baik. Saya berasakan masalah utama mereka terletak kepada diri sendiri," ujar Chong Wei.

Pemain berusia 36 tahun itu teruja menyaksikan persembahan yang dipamerkan Zii Jia dan Jun Hao, dengan meramalkan kematangan dalam permainan mereka akan mula menyerlah dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

Chong Wei turut mengharapkan agar penampilan mereka dalam Piala Thomas di Bangkok, Thailand baru-baru ini menjadi pencetus aspirasi untuk meneruskan legasinya.

"Mereka perlu tingkatkan ranking dunia. Jika mereka di luar kelompok 40 pemain terbaik, mereka tidak berpeluang untuk beraksi dalam kejohanan berstatus Siro Super.

"Mereka tidak akan tahu bagaimana pukulan, konsistensi dan perasaan berdepan jaguh dunia dalam kejohanan sebenar.

"Sebelum ini, mereka berkesempatan beraksi dalam beberapa perlawanan Piala Thomas dan berpeluang menentang Hans-Kristian Vittinghus dan Jonatan Christie.

"Namun, Algeria dan Russia bukanlah lawan sebenar.

"Pemain seperti Kento Momota, Viktor Axelsen, Christie dan Kenta Nishimoto merupakan lawan mereka pada era ini," kata Chong Wei lagi.