Penantian buat peminat badminton tanah air untuk menyaksikan Datuk Lee Chong Wei kembali ke gelanggang kompetitif nampaknya berlanjutan selepas dia disahkan tidak realistik untuk memulakan latihan intensif sebelum penghujung 2018.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM), minggu lalu mencetuskan keterujaan dengan pengumuman Chong Wei bakal kembali berlatih dalam tempoh dua minggu.

Ia berdasarkan kemahuan Chong Wei sendiri sebelum pemeriksaan kesihatan ke atasnya memaksa dia menangguhkan hasrat itu.

"Saya perlu menangguhkannya dahulu memandangkan saya perlu kembali menjalani rawatan di Taiwan selama tiga bulan.

"Selepas itu, baru saya akan kembali berlatih seperti biasa.

"Mungkin paling cepat untuk saya kembali ke Malaysia adalah pada Januari," katanya.

Sejak kembali ke tanah air, 7 Oktober lalu, sebarang aktiviti mengembalikan kecergasan fizikal Chong Wei hanya terhad kepada senaman dan pemulihan.

Sasarannya kini adalah untuk mempertahankan kejuaraan Seluruh England, namun menyedari misi sebenarnya adalah kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya mahu mempertahankan gelaran itu tetapi saya tidak dapat menjanjikannya.

"Saya perlu berbincang dengan pihak doktor tentang keadaan kesihatan saya terlebih dahulu.

"Apa yang penting, kemahuan itu tetap ada.

"Saya perlu benar-benar pulih untuk kembali beraksi," tambahnya.