Kepulangan Datuk Lee Chong Wei ke tanah air menghampiri realiti selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan proses rawatannya di luar negara membuahkan petanda positif.

Perkembangan itu dikongsi susulan lawatan peribadi Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, Datuk Ng Chin Chai, bertemu jaguh perseorangan lelaki negara berkenaan baru-baru ini.

Jika sembuh daripada sebarang komplikasi membabitkan pernafasan, maka dia dijangka kembali ke gelanggang latihan dalam tempoh enam minggu.

"Chong Wei sedang menjalani rawatan di luar negara.

"Mudah-mudahan dia akan kembali ke Malaysia dalam tempoh dua minggu lagi.

"Selepas itu, dia akan berehat selama sebulan dan jika tiada masalah, dia boleh kembali beraksi.

"Doktor akan memberi nasihat sama ada dia boleh kembali berlatih atau tidak," kata Chin Chai.

Sejak Chong Wei mengambil keputusan untuk berehat secara rasmi sejak 24 Julai lalu, skuad kebangsaan terbukti sukar untuk hidup tanpa pengaruhnya.

"BAM sudah menyatakan pendirian bahawa kami mesti mempunyai perancangan menghadapi persaraan Chong Wei.

"Mungkin dalam keadaan ini, Chong Wei banyak menarik perhatian peminat badminton kerana dia secara konsistennya membawa pulang khabar gembira buat negara.

"Peminat harus bersabar. Kami sudah mengarahkan barisan jurulatih untuk menyenaraikan pemain muda untuk digilap demi masa depan," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.