Perkembangan kesihatan positif yang ditampilkan jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei, menyaksikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berani untuk menyenaraikan pemain itu menyertai Kejohanan Terbuka Malaysia seperti dijanjikan April depan.

Kejohanan Terbuka Malaysia bakal menjadi pentas pertama buat jaguh perseorangan itu beraksi dalam kejohanan kompetitif selepas sembilan bulan tidak beraksi gara-gara pemulihan daripada kanser hidung.

Tarikh tutup pengesahan penyertaan kejohanan itu adalah 19 Februari ini dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah pun mengesahkan penyertaan Chong Wei dalam kejohanan itu.

Untuk rekod, Chong Wei merupakan pemegang rekod pemain paling banyak memenangi kejohanan ini dengan 12 kejuaraan, dengan kali terakhir pada tahun lalu.

"Setakat ini, kami akan mengikut perancangan buat Chong Wei yang bakal tampil beraksi dalam Terbuka Malaysia," kata Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann.

Bagaimanapun, BAM tidak meletakkan sebarang sasaran buat pemain itu, dengan keutamaan melihat Chong Wei kembali selesa beraksi di dalam gelanggang.

Chong Wei sudah pun kembali menjalani latihan ringan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sejak awal tahun ini.

"Kami akan cuba mengubah corak latihan buat Chong Wei bagi menyesuaikan dengan tahap kecergasannya."