Di sebalik ranking dunia yang masih belum mencapai kelompok 100 terbaik, perseorangan lelaki muda negara, Lim Chong King, sedia menyahut cabaran untuk menjadi pilihan dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia bulan depan.

Setakat ini, masih tiada pengumuman rasmi daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengenai hala tuju untuk menggunakan pemain profesional bagi menghadapi saingan di Filipina itu.

Tatkala beberapa rakan sepasukannya disingkirkan daripada skuad, Chong King tetap tidak berasa berada dalam zon selesa untuk merebut tempat dalam pasukan memandangkan ranking dunianya jauh terperosok di tangga ke-161.

"Saya rasa sudah sedia untuk beraksi dalam kejohanan. Jurulatih juga ada berikan latihan yang lebih untuk kejohanan," katanya.

Chong King sedar kudratnya langsung tidak diuji sepanjang berada di Filipina meskipun dia tersenarai ke Sukan SEA 2019, bulan lalu.

Kejohanan Badminton Berpasukan Asia kali ini turut bakal menjadi pentas kelayakan untuk Piala Thomas, Mei depan.

"Saya ikut sahaja setiap perancangan. Saya rasa memang ada sedikit tekanan tetapi kami perlu lebih fokus dalam latihan dan tidak terlalu memikirkannya."




Editor: Nafis Abdullah