China kembali julang Piala Thomas

Oleh Staff Writer 27 Mei 2018 6884
China kembali julang Piala Thomas
CHINA 3 JEPUN 1

China merampas kembali Piala Thomas selepas menewaskan Jepun 3-1 dalam perlawanan akhir di Impact Arena, Bangkok sebentar tadi, sekali gus memberikan kejuaraan ke-10 buat Negara Tembok Besar itu.


Pertemuan itu mengimbau kembali aksi separuh akhir edisi 2014 di New Delhi, di mana Jepun ketika itu unggul dengan kemenangan 3-0 dalam laluan mereka bergelar juara.

Aksi perseorangan pertama menemukan Chen Long dan Kento Momota dengan rekod pertemuan memihak kepada wakil China itu.

Namun, Momota yang menewaskan lawannya itu dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Wuhan bulan lalu, nyata lebih tangkas dalam perlawanan ini, dengan kawalan gelanggang kemas untuk memenangi set pertama 21-9.

Rentak itu diteruskan Momota dalam set kedua di sebalik tentangan hebat Chen Long untuk memperoleh kemenangan 21-18 bagi memberikan mata pertama buat Jepun.

"Saya sudah jangkakan Chen Long akan tampil dengan aksi lebih baik kali ini tetapi corak permainan yang ditunjukkannya dapat dipatahkan," kata Momota.

Rentak itu, bagaimanapun, gagal diteruskan beregu pertama Jepun, Takuto Inoue-Yuki Kaneko, yang berdepan beregu ketiga dunia, Liu Cheng-Zhang Nan.

Inoue-Kaneko bermula hambar dan tewas mudah set pertama 10-21, sebelum terus dikecewakan dalam set berikutnya 18-21.

China kemudian memperoleh mata kedua apabila Shi Yuqi menewaskan Kenta Nishimoto dengan straight sets 21-12, 21-17 dalam aksi perseorangan kedua.

"Perlawanan ini sukar buat saya, saya turun dengan perasaan sedikit gementar tetapi mula memperoleh keyakinan untuk menewaskan lawan," kata Yuqi.

Persaingan semakin sengit bagi pertemuan beregu kedua di antara Li Junhui-Liu Yuchen yang menentang Keigo Sonoda-Yuta Watanabe.

Selepas tewas set pertama 17-21, Junhui-Yuchen kembali menemui rentak permainan dan menutup aksi ini dengan keputusan 21-19, 22-20 bagi memberikan mata ketiga buat China, sekali gus mengesahkan kejuaraan Piala Thomas milik mereka.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen