Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai, mengambil keputusan drastik untuk menarik diri daripada perebutan jawatan naib presiden Badminton Asia menjelang pemilihan pucuk pimpinan penggal baru persatuan itu, Sabtu ini.

Keputusan itu dilakukannya untuk memberikan ruang buat wakil tunggal dari Malaysia, iaitu Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, yang akan merebut jawatan presiden.

Chin Chai berasakan ia merupakan satu keputusan yang adil kerana Badminton Asia memilki 43 ahli gabungan dan adalah memadai buat Malaysia untuk merebut hanya satu kerusi.

Sebelum ini, bekas timbalan presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid, turut memegang jawatan naib presiden Badminton Asia, namun melepaskannya selepas bersara tahun lalu.

"Saya telah menarik diri daripada bertanding jawatan naib presiden, jadi hanya Datuk Seri Norza merupakan calon dari Malaysia yang akan bertanding jawatan presiden.

"Sebelum ini, kami berasakan suara Asia di peringkat antarabangsa tidak begitu kuat kerana tidak bersatu.

"Ramai wakil dari negara lain menggalakkan Datuk Seri Norza untuk bertanding sebagai presiden supaya dia boleh membawa penyatuan dalam Badminton Asia.

"Itu adalah objektif kami," katanya.

Norza, yang akan menjadi satu-satunya wakil Malaysia dalam sesi pemilihan Sabtu ini, perlu meyakinkan kesemua delegasi Badminton Asia selain akan berdepan tentangan daripada beberapa calon lain, termasuk penyandang jawatan presiden, Anton Aditya Subowo dari Indonesia.

"Apa yang boleh saya katakan, saya akan bertanding sebagai calon bukan pilihan.

"Kami mahu menawarkan calon daripada Malaysia kerana di Malaysia juga terletaknya ibu pejabat Badminton Asia.

"Kami juga akan menerangkan kepada mereka bahawa kami mempunyai akademi yang baru untuk membantu negara-negara yang memerlukan.

"Kita akan lihat kemudian kerana menang dan kalah itu adalah adat pertandingan," katanya.