Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai, memberi bayangan salah satu pasangan beregu campuran negara mungkin digugurkan daripada Program Podium tatkala Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal melakukan penyingkiran atlet daripada program itu.

Chin Chai percaya seramai 12 pemain badminton yang kini berada dalam Program Podium pasti masih relevan untuk dikekalkan.

Bagaimanapun, seiring dengan apa yang diinginkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, iaitu melakukan rombakan besar selepas ini, Chin Chai hanya melihat kedudukan beregu campuran negara mungkin akan tergugat.

Jika dilihat atas kertas, gandingan Chang Peng Soon-Goh Liu Ying berpeluang cerah untuk dikekalkan tetapi situasi sebaliknya buat pasangan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

"Setakat ini, apa yang kami pandang secara serius, semuanya baik tetapi mungkin satu gandingan campuran akan berubah. Itu perspektif kami.

"Kami memiliki dua gandingan dan mungkin akan mencadangkan satu pasangan lain. Gandingan yang mempamerkan aksi terbaik tidak berada dalam Program Podium," kata Chin Chai.

Dalam masa sama, ketika mengulas mengenai perkembangan terkini jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, Chin Chai tidak menolak dia bakal kembali menyertai kem latihan sebelum penghujung tahun ini memandangkan rawatan susulan yang dihadapinya sekarang berjalan lancar.

"Chong Wei sedang melalui proses pemulihan dan memberi maklum balas kepada kami. Dia juga gembira dengan perkembangannya dirinya.

"Kami berharap dia akan kembali dengan bagus dan Chong Wei juga mengharapkan dia dapat beraksi semula secara kompetitif."