Juara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Kebangsaan dua tahun berturut-turut, Lim Chi Wing, dilihat sukar untuk mengejar kejuaran hatrik ekoran masih bergelut dengan masalah prestasi.

Juara kebangsaan sejak 2016 itu pernah dianggap permata baru sukan badminton negara, namun kurang konsisten di peringkat antarabangsa yang menyaksikan dia sering kecundang awal.

Masalah itu berlarutan sehingga namanya kian tersisih daripada membantu kem Malaysia dalam kejohanan penting seperti Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, baru-baru ini.

Chi Wing, yang kini berada di kedudukan ke-90 dunia, tetap menyimpan hasrat untuk mencipta impak bagi mengembalikan reputasinya sebagai salah seorang pemain perseorangan terbaik negara.

"Saya agak yakin dapat mencapai keputusan yang baik dan akan fokus dalam setiap perlawanan," katanya.

Walaupun diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan, laluan Chi Wing tetap berliku dengan kehadiran beberapa pemain tempatan seperti pemain muda yang sedang meningkat naik, Lee Zii Jia, dan dua pemain profesional negara, Chong Wei Feng dan Liew Daren.

"Saya berharap dapat menjuarai kejohanan ini tetapi perlu meletakkan fokus penuh dalam setiap aksi kerana semua lawan telah menunjukkan peningkatan seperti Zii Jia, Daren dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin. Mereka adalah penghalang utama saya."