Kejayaan beregu campuran negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, layak ke Final Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menjadi pencapaian yang menakjubkan.

Kejayaan itu, bagaimanapun, membangkitkan gusar buat ketua jurulatih mereka, Pang Cheh Chang.

Sejak kembali bergandingan awal tahun ini susulan kecederaan yang dialami Liu Ying, mereka sudah mengharungi 17 kejohanan terbuka.

Itu tidak termasuk penampilan dalam temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Prestasi hampir konsisten itu menyaksikan mereka layak ke Final Jelajah BWF selepas berada di kedudukan ranking kedua daripada lapan yang layak.

Namun, Cheh Chang risau dengan fizikal rapuh Liu Ying dan keadaan mental Peng Soon menuju saingan penutup tirai musim tersebut.

"Liu Ying memaparkan peningkatan dalam sesi latihan tetapi Peng Soon kelihatan letih daripada segi mental.

"Mereka sudah berumur dan proses pemulihan tidak secepat dulu.

"Kami masih mempunyai tempoh tiga minggu menjelang kejohanan untuk memperbaiki kondisi mereka berdua," katanya.