Pengarah kejurulatihan yang bakal dilantik Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu memiliki keupayaan menyatu padukan barisan jurulatih dan ada perancangan bagaimana untuk memastikan badminton mampu bawa pulang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pandangan itu disuarakan ketua jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang.

Perancangan BAM untuk melantik pengarah kejurulatihan sudah diperincikan kepada menyediakan senarai pendek calon.

Kali terakhir Malaysia memiliki individu yang memikul tanggungjawab seperti itu adalah Pengarah Teknikal, Morten Frost, yang meletak jawatan setahun lalu.

Di bawah Frost, badminton Malaysia menamatkan kempen Sukan Olimpik Rio 2016 dengan tiga pingat perak.

"Sudah 16 tahun saya berkhidmat di sini, saya tiada masalah untuk bekerjasama dengan sesiapapun, bergantung kepada siapa dengan saya akan bekerjasama.

"Yang penting, kami mempunyai hala tuju yang sama untuk menghadirkan pingat emas pertama Sukan Olimpik.

"Apa yang lebih mustahak, kami boleh membentuk kerjasama.

"Ini bukan usaha individu sahaja," kata Cheh Chang.

Beregu campuran kini dalam landasan untuk memiliki dua wakil ke temasya Tokyo 2020.

Selepas kemaskini ranking dunia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berada di tangga keenam dan di bawah mereka adalah Goh Soon Huat-Shevon Lai.

"Sebelum ini kami sudah mendedahkan sasaran mengenai dua beregu campuran negara untuk menduduki kelompok lapan terbaik dunia dan kini kami sudah mencapainya.

"Kami perlu mencari kaedah untuk kekal di posisi berkenaan jika mereka ingin layak ke Olimpik Tokyo.

"Bermula tahun hadapan, kami perlu merancang perjalanan ke arah Sukan Olimpik," katanya.