Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menolak rayuan dua pemain badminton profesional negara, Zulfadli Zukifli dan Tan Chun Seang, terhadap hukuman dikenakan oleh Panel Pendengaran Etika Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tahun lalu atas kesalahan mengatur perlawanan, pertaruhan dan menentukan keputusan.

BWF, dalam satu kenyataan hari ini, mengesahkan rayuan yang dikemukakan oleh pemain berkenaan bagi mencabar keputusan panel tersebut ditolak oleh CAS, sekali gus mengekalkan hukuman yang dikenakan.

"BWF berpuas hati bahawa CAS membuat kesimpulan sama dengan Panel Pendengaran Etika BWF berhubung keputusan yang dibuat,” kata kenyataan itu.

Pada 27 April tahun lalu, Zulfadli dan Chun Seang digantung daripada menyertai sebarang pertandingan, masing-masing selama 20 dan 15 tahun kerana melanggar Kod Tatatertib BWF membabitkan aktiviti mengatur perlawanan, pertaruhan dan menentukan keputusan perlawanan.

Panel pendengaran itu juga mengenakan denda sebanyak US$25,000 (RM102,596) kepada Zulfadli manakala Chun Seang didenda US$15,000 (RM61,558).

Sepanjang tempoh itu, mereka dilarang menyertai sebarang aktiviti membabitkan sukan badminton, termasuk bahagian pengurusan, kejurulatihan, pengadilan atau pembangunan.

Menurut laporan penuh tiga ahli bebas yang dilantik BWF untuk mengadili sesi pendengaran di Singapura, Februari tahun lalu, kedua-duanya terbabit mengatur perlawanan dalam enam kejohanan, iaitu Grand Prix Emas Terbuka London 2013, GP Terbuka Belanda 2013, GP Emas Terbuka Korea, GP Terbuka Macau 2014, GP Terbuka Amerika Syarikat 2014 dan GP Emas Terbuka Brazil 2016.

Laporan itu juga menyebut Zulfadli terbabit dengan 27 pelanggaran Kod Tatatertib 2012 dan empat Kod Tatatertib 2016 pertaruhan dan mengatur perlawanan manakala Chun Seang pula didapati terbabit dalam 26 pelanggaran Kod Tatatertib 2012.

Penggantungan bermula dari 12 Januari tahun ini, iaitu tarikh kedua-dua pemain terbabit dikenakan penggantungan sementara oleh BWF.

-- BERNAMA