Pemain perseorangan negara, Soong Joo Ven, menepati ramalan ke final Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia selepas menyingkirkan rakan senegara, Lim Chong Kim, 21-13, 21-15 dalam aksi separuh akhir di Arena Badminton Perak, Ipoh, hari ini.

Dalam perlawanan akhir esok, Joo Ven selaku pilihan utama akan berdepan rakan senegara, Cheam June Wei, yang tidak berdepan masalah untuk menumpaskan seorang lagi wakil negara, Tan Jia Wei, dalam aksi straight set 21-16, 21-10.

Dalam acara beregu lelaki, pasangan negara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong, melakar kejutan apabila mengetepikan cabaran beregu dari Indonesia yang juga pilihan kedua kejohanan, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana, 21-14, 18-21, 30-29.

Menanti mereka dalam perlawanan akhir adalah satu lagi pasangan dari Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, yang menumpaskan pasangan negara, Chen Tan Jie-Chia Wei Jie, dalam aksi tiga set, 20-22, 21-17, 21-17.

Bagi acara beregu wanita, pasangan negara, Pearly Tan-T. Muralitharan, juga melakar kejutan apabila menumbangkan pilihan kedua dari Indonesia, Nita Violina Marwah-Putri Syaikah, 23-21, 21-18.

Di peringkat akhir, mereka akan bertemu pilihan utama kejohanan dari Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Ribka Sugiarto, yang menumpaskan pasangan negara, Anna Ching Yik Chong-Lim Chiew Sin, dalam aksi tiga set 14-21, 21-12, 21-17.

-- BERNAMA