Cabaran Antarabangsa Malaysia: Jia Wei, Ying Ying mara ke final

Oleh Staff Writer 21 April 2018 2460
Cabaran Antarabangsa Malaysia: Jia Wei, Ying Ying mara ke final
Tan Jia Wei kekal mengibarkan cabaran negara dalam perseorangan lelaki tatkala pemain perseorangan wanita negara, Lee Ying Ying, membuat kejutan apabila menewaskan pilihan pertama dari Indonesia, Hanna Ramadini, dalam aksi separuh akhir Cabaran Antarabangsa Malaysia, di Stadium Juara Bukit Kiara, hari ini.

Jia Wei muncul wakil tunggal negara dalam peringkat separuh akhir selepas beberapa pemain negara lain terkandas awal.

Bertemu Vitidsarn Kunlavut dari Thailand, Jia Wei diberikan saingan sengit dalam set pertama sebelum menang 21-17.

Dalam set kedua, Jia Wei kekal dengan permainan positif untuk melengkapkan kemenangan 21-15 dalam masa 38 minit.

Menantinya dalam final ialah pemain Taiwan, Hsueh Hsuan Yi.

"Saya bermain dengan lebih bersabar dan berjaya mengatasi lawan," kata Jia Wei.

Sementara itu, Ying Ying selaku pilihan ketiga mempamerkan aksi terbaiknya untuk menang 21-7 ke atas Hanna dalam set pertama.

Lawan mula bangkit dalam set kedua dengan kemenangan 21-10, namun Ying Ying mendapatkan rentak permainanya semula dalam set penentuan untuk menang 21-17.

Dia akan bertemu pemain China, Wang Zhiyi, dalam perlawanan akhir.

"Hari ini saya lebih gementar berbanding semalam, saya sangat gembira kerana berjaya menewaskan Hanna," kata Ying Ying.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen