Cabaran Antarabangsa Malaysia: Hasrat Sze Fei-Izzudin pertahan gelaran lebur

Oleh Staff Writer 21 April 2018 2280
Cabaran Antarabangsa Malaysia: Hasrat Sze Fei-Izzudin pertahan gelaran lebur
Hasrat gandingan negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, untuk mempertahankan kejuaraan Cabaran Antarabangsa Malaysia dalam acara beregu musnah di tangan rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, susulan kekalahan dalam pertarungan tiga set di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Sze Fei-Izzudin selaku pilihan ketiga bermula goyah dengan beberapa kesilapan mereka mengundang padah sebelum tewas 21-18 dalam set pertama.

Mereka kemudian bergelut untuk bangkit dalam set kedua tetapi akhirnya merakamkan kemenangan 24-22 untuk kembali menyalakan harapan.

Begitupun, Sze Fei-Izzudin kembali hilang momentum dalam set ketiga tatkala lawan tampil lebih menyerlah untuk mencatat kemenangan 21-13.

"Kami berharap untuk meraih kemenangan tetapi yang paling penting adalah kami telah menampilkan persembahan terbaik," kata Aaron.

Tugas getir, bagaimanapun, menanti Aaron-Wooi Yik dalam final apabila berdepan beregu handalan Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Hendra yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik Beijing 2008 bersama Markis Kido menewaskan beregu negara Chooi Kah Ming-Low Juan Shen 21-15, 21-13.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen