Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini meluluskan penggunaan bulu tangkis sintetik dalam semua peringkat kejohanan antarabangsa mulai 2021 bagi meningkatkan mutu sukan itu.

Melalui keputusan tersebut, BWF membenarkan pengeluar bulu tangkis untuk mendapatkan kelulusan di bawah skim Kelulusan Peralatan BWF untuk versi dan aspek teknikal bagi digunakan dalam pertandingan antarabangsa.

BWF menyatakan selepas ujian berterusan ke atas pelbagai prototaip yang dijalankan sewaktu pembangunan melalui kerjasama teknologi bersama Yonex, bulu tangkis sintetik didapati lebih tahan lama dan jimat berbanding penggunaan bulu asli.

Pelbagai ujian juga mendapati bulu tangkis sintetik dapat mengurangkan penggunaan sehingga 25 peratus dan memberikan kelebihan yang penting untuk ekonomi dan penjagaan alam sekitar demi masa depan badminton.

Setiausaha Agong BWF, Thomas Lund, berkata wawasan itu adalah bagi mengurangkan kebergantungan penggunaan bulu tangkis daripada bulu asli dan percaya ia akan membawa kepada penerimaan dan penggunaan mulai tahun 2021.

“Kami dapati daripada beberapa pemain elit yang terlibat dalam ujian, mereka dapat menyesuaikan diri dengan perbezaan kecil di antara versi bulu tangkis sintetik dan bulu tangkis asli dengan cepat. Jadi, ia satu berita baik untuk prestasi bulu tangkis itu.

“Kami amat teruja dengan hasil daripada projek ini dan mahu melihat bulu tangkis sintetik ini berkembang lagi. Terima kasih tidak terhingga perlu diberikan kepada Yonex atas kerja keras mereka, inovasi dan kesungguhan yang dilakukan sejak lima tahun lalu," kata Lund dalam satu kenyataan.

Badan badminton dunia itu menjangkakan pelaksanaan penggunaan bulu tangkis sintetik itu akan mengambil masa beberapa tahun dengan pengeluaran dan ketersediaan produk itu akan perlahan-lahan meningkat bagi memenuhi permintaan.

“Ia akan bergantung kepada pelbagai penganjur kejohanan dengan ketersediaan mana-mana jenama bulu tangkis sintetik yang diluluskan bagi memutuskan kejohanan mana yang akan menggunakan bulu tangkis sintetik,” katanya.

-- BERNAMA