Hasrat untuk mengubah format kiraan mata Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tidak kesampaian apabila majoriti ahli badan gabungan itu gagal diyakinkan.

BWF menerusi mesyuarat agung yang berlangsung di Bangkok, Thailand semalam memerlukan majoriti dua pertiga daripada 252 undian untuk melaksanakan perubahan ke sistem 11 mata dalam lima set terbaik.

Sebaliknya, agenda itu mendapat reaksi berbeza apabila 123 pemegang taruh daripada angka 252 itu tidak bersetuju memberikan lampu hijau kepada usul tersebut.

Antara faktor usul berkenaan tidak menerima sambutan sebulat suara ahli gabungan BWF adalah kerana ketiadaan ujian di peringkat tertinggi dunia.

Malah, kebanyakan pemain elit berasa format 11 mata akan membunuh kelangsungan sukan badminton yang dianggap sudah sempurna.

"Saya berpendapat perubahan itu akan mengubah keadaan permainan secara fizikal, seperti apa yang dilihat ketika aksi akhir Kejohanan Dunia.

"Sesetengah perlawanan juga akan menjadi membosankan sekiranya terdapat jurang besar antara pemain. Jadi, saya rasa format sedia ada sudah sempurna," kata pemain perseorangan lelaki Denmark, Viktor Axelsen.