Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menagih pengalaman yang dimiliki Tan Boon Heong apabila bekas pemain beregu lelaki kebangsaan itu ditawarkan semula tempat dalam skuad negara.

Keadaan skuad beregu lelaki negara yang masih belum kukuh menyaksikan BAM perlu mencari penyelesaian segera, membuatkan pengalaman dan kepakaran yang ada pada Boon Heong dianggap dapat membantu pemain-pemain negara untuk meningkatkan prestasi mereka.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, menjelaskan pemilihan Boon Heong mendapat saranan ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit, dalam mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) BAM, hari ini, dan pertemuan itu turut menyaksikan kelulusan rombakan terhadap barisan kejurulatihan skuad negara.

Rosman Razak kini diberi tanggungjawab selaku ketua jurulatih beregu wanita sambil dibantu oleh Wong Pei Tty dan tempatnya dalam skuad beregu lelaki kemungkinan digantikan oleh bekas pemain kebangsaan, Lee Wan Wah.

Ia merupakan salah satu langkah untuk memperkasakan kem kebangsaan, khususnya dalam menghadapi kempen Piala Thomas di Bangkok, Mei depan.

"Kami agak risau akan prestasi yang dipamerkan beregu kedua negara, jadi kami meminta Soon Kit agar meneliti semula pemilihan pemain, malah menggantikannya jika perlu bagi menghadapi aksi pada Mei.

"Perpindahan Rosman ke beregu wanita bermaksud terdapat satu kekosongan dalam kem beregu lelaki dan kami telah mengenal pasti beberapa jurulatih untuk menggantikan tempat yang ditinggalkan Rosman itu," kata Norza selepas mempengerusikan mesyuarat hari ini.

Dalam masa sama, Norza turut mengesahkan kedudukan jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei, dan Lee Zii Jia hampir pasti berada dalam skuad Piala Thomas negara.

Kini, Soong Joo Ven dan Leong Jun Hao perlu membuktikan kemampuan bagi merebut satu lagi slot tatkala peluang Iskandar Zulkarnain Zainuddin semakin tipis.

"Kami telah bersetuju bahawa Chong Wei dan Zii Jia akan dikekalkan tetapi perseorangan ketiga bakal ditentukan sama ada Joo Ven atau Jun Hao," tambahnya.