Slot sebagai perseorangan lelaki ketiga Malaysia dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Manila, Filipina bulan depan akan menjadi rebutan di antara seorang pemain yang baru pulih daripada kecederaan dan seorang bakat muda negara.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) minggu lalu, pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, hampir pastu menjadi taruhan sebagai perseorangan utama.

Cheam June Wei pula, yang merupakan pemain di ranking ke-75 dunia, akan bertindak sebagai perseorangan kedua.

Ia bermakna slot bagi perseorangan ketiga akan menjadi rebutan di antara Leong Jun Hao, yang dibelenggu masalah kecederaan sejak 2018, dan bakat muda yang dicanang sebagai jaguh masa depan negara, Ng Tze Yong.

"Mungkin akan ada kejutan sedikit kerana dalam beberapa kejohanan sebelum ini, saya memiliki keputusan yang agak baik," kata Jun Hao.

"Jika terpilih ke dalam pasukan, saya sangat gembira.

"Saya mahu mendapatkan tempat saya semula dan seterusnya terpilih ke Piala Thomas," katanya.

Tze Yong pula berkata: "Saya agak terkejut kerana dalam Sukan SEA lalu, saya tidak tersenarai.

"Tetapi kali ini saya tersenarai.

"Saya sudah berlatih dengan gigih sepanjang enam bulan lalu, jadi saya fikir saya layak untuk mendapatkan slot itu.

"Semua orang mahu bermain, jadi ia terpulang kepada perancangan jurulatih," katanya.



Editor: Muzaffar Musa