Pemain beregu wanita negara, Vivian Hoo, sedar perubahan drastik perlu dilakukan bagi segera memperbaiki prestasi skuad beregu wanita selepas mempamer aksi kurang konsisten dalam Piala Uber di Bangkok, Thailand, minggu lalu.

Vivian berkata ia sememangnya bukanlah aksi yang diinginkan dalam kejohanan itu apabila hanya memenangi satu perlawanan ketika berdepan beregu dari Perancis tatkala tewas di tangan Indonesia dan China.

Nyata, gandingannya bersama Chow Mei Kuan tidak membuahkan hasil apabila gagal memberikan mata dalam dua aksi pertama, sebaliknya hanya pemain perseorangan berjaya menghadiahkan mata menerusi Soniia Cheah dan S. Kisona sewaktu berdepan Indonesia manakala Goh Jin Wei ketika menentang China.

Justeru, bukan hanya perlu bergantung kepada percaturan jurulatih, malah usaha keras perlu dilakukan pemain itu sendiri dalam mengharungi saingan dengan lebih baik

"Walaupun bergandingan dengan mana-mana pemain, apa yang penting saya sendiri yang perlu melakukan dengan terbaik.

"Ia kerana bukan mudah untuk bergandingan dengan pasangan berbeza. Jadi, saya hanya buat apa yang perlu, maksudnya melakukan peningkatan diri sendiri," kata Vivian.

Selepas ini, penilaian terperinci akan dilakukan sebelum Vivian dan Mei Kuan bersedia untuk menghadapi Terbuka Amerika Syarikat pada 12 Jun ini.

"Dalam Terbuka Amerika Syarikat, lawan yang sukar mungkin bermula di peringkat suku akhir. Saya akan berusaha untuk ke peringkat itu dan kemudian baru memikirkan laluan seterusnya," kata Vivian lagi.

Skuad negara gagal mara ke suku akhir Piala Uber apabila kalah tipis 3-2 kepada Indonesia sebelum mudah dibenam China 4-1 dan kemenangan ke atas Perancis 5-0 sudah terlambat untuk sekadar berada di tangga ketiga Kumpulan D.