Dua wakil profesional negara dalam Kejohanan Badminton Terbuka Thailand 2019, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong, masing-masing unggul di Stadium Tertutup Hua Mark, Bangkok, sebentar tadi.

Peng Soon-Liu Ying yang turun selaku beregu campuran pilihan utama berdepan tentangan sengit daripada wakil tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanacai.

Namun, mereka tidak berdepan halangan untuk merakamkan kejayaan keempat ke atas beregu Thailand itu menerusi kemenangan 21-16, 21-15 dalam tempoh 46 minit pertarungan.

"Persembahan saya tadi sangat bagus, keadaan saya juga dalam keadaan baik yang mendorong kami memenangi permainan secara straight set.

"Walaupun kini bermain sebagai pemain profesional, kami perlu berjuang yang terbaik kerana setiap perlawanan dianggap sangat penting," kata Peng Soon.

Beregu lelaki negara, V-Shem-Wee Kiong, meneruskan rentak cemerlang yang dilakar beregu campuran itu apabila turun di pentas final menentang wakil dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Poh Han.

Walaupun turun dengan reputasi selaku pilihan utama kejohanan, mereka tidak mengambil mudah lawan yang bergelar 'underdog' itu.

Jelas tahap prestasi V-Shem-Wee Kiong jauh lebih tinggi daripada lawan mereka untuk mudah mengesahkan kemenangan 21-13 dalam set pertama.

Amat menakjubkan apabila V-Shem-Wee Kiong mara ke pentas final Masters Thailand tanpa melepaskan sebarang set dan mereka melebarkan rekod tersebut hingga ke garisan penamat apabila mengatasi Ching Yao-Poh Han 21-17 dalam set kedua untuk mengakhiri kemarau memenangi gelaran sejak Disember 2016.