Barisan kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedia berkongsi perancangan masing-masing bersama pengarah kejurulatihan yang baru, Wong Choong Hann, sekali gus menepis dakwaan "murid mengajar guru".

Rata-rata barisan kejurulatihan badminton negara kini adalah bekas pendidik kepada Choong Hann, tidak kurang juga rakan sepasukan dan senior dalam kem kebangsaan.

Namun, ia bukanlah penghalang kerana sudah dijelaskan tugas Choong Hann tidak akan bercanggah dengan barisan jurulatih, sebaliknya lebih menumpukan kepada perancangan kejohanan dan program latihan.

Perbincangan rapi mengenai pelan skuad masing-masing akan dibentangkan kepada Choong Hann untuk memperbaiki kekurangan sedia ada.

"Wong Choong Hann tidak terbabit dalam bab membimbing pemain.

"Dia akan menyatukan gabungan di antara intelektual dan praktikal.

"Memandangkan saya di bahagian praktikal, jadi Choong Hann akan mendapatkan maklumat daripada saya mengenai apakah perancangan saya terhadap anak buah.

"Jadi, dia akan mengenal pasti kepentingan yang diperlukan saya," ujar ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek.

Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak, turut menyambut baik kehadiran Choong Hann dan sedia memberi kerjasama sama sekiranya perubahan dituntut demi melonjakkan mutu badminton negara.

"Kami menerimanya hati dengan terbuka.

"BAM sentiasa mahukan perubahan dan sesuatu yang baru, oleh itu kami menyambut baik langkah yang diambil," katanya.

Antara yang berusaha untuk memastikan wakil dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 adalah skuad perseorangan lelaki.

Selain Datuk Lee Chong Wei, fokus Misbun kini adalah cuba melonjakkan ranking dunia Lee Zii Jia yang di kedudukan ke-58 untuk berada dalam kelompok 16 terbaik menjelang kelayakan Sukan Olimpik yang bermula pada Mei 2019.

"(Di peringkat ini), hanya corak permainannya yang akan pergi jauh.

"Jadi, dia harus terima dan faham tentang latihan yang diberikan kepadanya.

"Tidak menghairankan sekiranya bentuk latihannya lebih keras berbanding yang lain," ujar Misbun.