Bapa Zulfadli: Kami ingin tahu perlawanan yang mana satu?

Oleh Staff Writer 4 Mei 2018 353
Bapa Zulfadli: Kami ingin tahu perlawanan yang mana satu?
Buat pemain perseorangan profesional, Zulfadli Zulkiffli dan keluarga, usaha pertama adalah untuk mendapatkan dana bagi memulakan proses rayuan berhubung hukuman penggantungan 20 tahun dan denda berjumlah USD25,000 (RM98,162) ke atasnya oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati bersalah terlibat dalam kes mengatur perlawanan.

Ini termasuk pendekatan berbincang dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Saya berasakan sesuatu yang tidak betul. Kamu menuduh seseorang tanpa bukti. 

"Semasa dikemukakan dalam pendengaran tempoh hari, semua pertuduhan itu sudah dijawab oleh peguam dan apabila ditanya semula perlawanan mana yang diaturkan? Mereka kata tidak perlu ada bukti. 

"Saya sebagai orang tua, saya kecewa anak saya diperlakukan sedemikian rupa. Saya tahu anak saya sendiri, saya yang didik dia," kata bapanya, Zulkiffli Sidek.

Sementara itu, peguam Zulfadli, Datuk Joshua Kevin, berkongsi pandangan peribadi mengenai aspek perundangan yang sudah dan bakal dihadapi Zulfadli.

"Zulfadli datang berjumpa saya hanya beberapa hari sebelum (sesi) pendengaran di Singapura. 

"Kami meminta lanjutan masa untuk kami membuat sedikit persiapan, namun permohonan itu ditolak. 

"Tetapi kami tetap bertungkus-lumus untuk menyediakan kes tersebut. Isu yang penting di sini yang kami nak tahu  -- beritahulah kami -- perlawanan mana (yang Zulfadli terlibat dalam mengatur perlawanan). Perlawanan mana yang dia tak bermain bertungkus-lumus? 

"Masalah dengannya ada dua. 

"Pertama, dia tidak mempunyai cukup wang untuk bayar denda itu terlebih dahulu sebelum rayuan tersebut dapat difailkan. 

"Kedua, saya rasa sebelum perbicaraan tersebut, memang dia yakin tiada sebarang kaitan dengan perkara itu. 

"Tetapi selepas keputusan tersebut keluar, dia tiada keyakinan lagi dengan badan kehakiman itu, saya tidak tahu," kata Kevin. 


 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen