BAM wajar bertegas tentukan kedudukan pemain -- Rashid 

Oleh Staff Writer 2 Jun 2018 1053
BAM wajar bertegas tentukan kedudukan pemain -- Rashid 
Bekas ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek, mengalu-alukan pengguguran pemain dalam skuad kebangsaan jika itu bersifat memantapkan prestasi dan bukan atas faktor kewangan.

Rashid merujuk kepada barisan perseorangan lelaki dalam skuad kebangsaan di bawah kendalian Datuk Misbun Sidek.

Buat masa ini, 11 pemain diselia empat jurulatih, termasuk Hendrawan, Indra Wijaya dan Sairul Amar Ayob selain Misbun. 

Mungkin sudah tiba masanya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak berkompromi dengan pemain yang tidak mempamerkan prestasi sebenar.

Berdasarkan perancangan BAM, Ogos ini merupakan jendela untuk menilai semula pemain dalam program kebangsaan.

"Sekiranya pemain yang ada sekarang tidak menunjukkan peningkatan dan tidak memaparkan persembahan baik, BAM sepatutnya membuat penilaian dan pengguguran. 

"Tanpa dua perkara ini, pemain tidak berasa tertekan, malah impak dalam latihan juga tidak cukup," katanya. 

Rashid turut berpandangan bahawa Malaysia tidak memerlukan seorang pengarah teknikal buat masa ini.

Justeru, hanya kepercayaan penuh tanpa campur tangan perlu diberikan kepada lima ketua jurulatih yang sudah diberi mandat.

"Beri (kebebasan) kepada jurulatih untuk memilih pemain dan menghantar mereka dalam kejohanan. 

"Berikan mereka kuasa penuh, kemudian kalau keputusan tidak memuaskan, barulah tindakan diambil," katanya. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen