Keputusan kini di tangan bekas pemain beregu no. 1 dunia, Tan Boon Heong, untuk kembali menjadi pemain skuad kebangsaan apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah menyerahkan tawaran rasmi kepadanya.

Selepas tiga tahun Boon Heong meninggalkan kem kebangsaan, kini namanya menjadi pilihan BAM untuk kembali menggalas tanggungjawab buat skuad negara apabila dipanggil semula untuk menyertai skuad beregu Malaysia.

“Kami telah menemui Boon Heong dan menjelaskan syarat-syarat untuknya kembali bermain bersama BAM. Dia sedang menimbangkan tawaran itu.

"Setakat ini, perbincangan berjalan dengan lancar tetapi dia juga perlu meneliti tawaran tersebut,” ujar Pengurus Besar BAM, Michelle Chai.

“Jika Boon Heong menerima tawaran itu, ia adalah satu suntikan buat kami bagi menghadapi Piala Thomas. Pengalaman yang dimilikinya mampu membantu perkembangan pemain-pemain muda,” tambah ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit.

Nada sama turut disuarakan dua pemain beregu lelaki negara, Tan Wee Kiong dan Goh V Shem, sambil menyifatkan pengalaman yang dimilikinya akan menjadi teras utama.

“Dia boleh membantu skuad muda negara,” kata Wee Kiong.

“Sememangnya Boon Heong memiliki pengalaman yang banyak, jadi mungkin dia boleh memacu skuad negara untuk terus berkembang,” tambah V Shem.